Operasi Patuh besar-besaran

PUTRAJAYA 1 Julai –  Operasi Patuh (Op Patuh) secara besar-besaran dan bersepadu esok memberi tumpuan ke atas negeri-negeri yang masih mencatatkan jangkitan harian Covid-19 yang tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata operasi itu yang melibatkan semua agensi berkaitan dan diketuai oleh ketua polis daerah, akan menyasarkan kawasan perindustrian termasuk tempat penginapan pekerja yang berisiko tinggi berdasarkan pemetaan yang dibuat sebelum ini.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP serta arahan kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akta-akta sedia ada yang lain.

Katanya,  majikan yang didapati melanggar SOP Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara akan diambil tindakan tegas.

Ini kerana menurut Hamzah pihak berkuasa menerima maklumat ada majikan tidak melaksanakan kuarantin ke atas pekerja yang menjadi kontak kepada kes positif.

Banyak tangkapan di Selangor dan Kuala Lumpur ini, apabila kita tanyakan, sesetengah daripada pekerja ini maklumkan kepada kita kawan dia dah kena COVID-19 tetapi yang lain tidak dikuarantin.

“Semua maklumat ini kita ambil dan kita buat esok dan kita tangkap dengan majikan sekali kerana bukan hanya telah melakukan kesalahan tetapi mereka benar-benar menzalimi pekerja-pekerja mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Op Patuh besar-besaran itu, Hamzah berkata pihak berkuasa akan menggerakkan aset strategik seperti helikopter dan dron serta mengadakan sekatan jalan raya bergerak bagi mengelakkan pekerja melarikan diri.

“Selalunya bila kita masuk pintu depan, dia (pekerja) akan keluar ikut pintu belakang. Jadi dengan adanya helikopter dan dron ini kita dapat melihat keseluruhan kawasan berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment