SelVAX sedia 2.5 juta dos vaksin

SHAH ALAM 30 Jun – Selangor bakal menerima 2.5 juta dos vaksin Covid-19 buatan Sinovac yang bakal memberi manfaat kepada 1.25 juta penerima melalui insiatif yang dinamakan Program Vaksin Selangor (SelVAX).

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, melalui langkah itu ia sekali gus  meningkatkan kadar vaksinasi harian dengan sasaran 80 peratus dewasa di Selangor telah divaksin menjelang Oktober ini.

SelVAX adalah hasil pemeteraian perjanjian Pembekalan dan Pengedaran (SDA) antara Pharmaniaga Berhad dengan Selgate Healthcare.

Ia adalah antara usaha kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenal pasti kumpulan sasaran (SelVAX Komuniti) serta memelihara pekerja (SelVAX Industri).

SelVAX Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang belum divaksin, manakala SelVAX Industri adalah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran satu juta pekerja.

“Antara sasarannya adalah melindungi golongan warga emas, kumpulan B40, di kalangan penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat dan kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan,” katanya ketika mengumumkan program itu hari ini.

Mengikut kadar sedia ada, dianggarkan proses vaksinasi hanya akan berakhir seawal Disember 2021 dengan sebahagian rakyat lengkap mendapat dua dos vaksin pada 8 Februari 2022.

Menerusi SelVAX, Amirudin berkata, Selangor menyasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih daripada 22 pusat pemberian vaksin (PPV), dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik dan hospital swasta.

Related posts

Leave a Comment