35 lokaliti terlibat PKPB Nilai

SEBANYAK 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Zon Nilai terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam ini (28 Oktober) manakala sebahagian tiga jalan di Putra Point terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 10 November 2020.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, jalan yang terlibat dengan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh anggota keselamatan iaitu Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E.

Dalam kenyataan media, beliau berkata, semua yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Kaya dan tinggal di asrama Jalan BBN 1/2E akan dipindahkan ke asrama di Jalan BBN 1/7B.

Bagi penghuni di ketiga-tiga blok di Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E mereka tidak akan dibenarkan keluar masuk di kawasan tersebut. Penghuni asrama di ketiga-tiga blok ini yang merupakan kontak rapat kepada Kluster Kaya tidak dibenarkan keluar daripada asrama masing-masing,

Pasukan keselamatan akan mengawal kawasan tersebut selama 24 jam, malah semua aktiviti ekonomi, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut seperti yang dinyatakan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu antara kawasan perniagaan dan institusi yang terlibat PKPB termasuklah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai International School, Nilai University, Manipal University, INTI College, AEON Nilai, Tesco, Giant, Mesamall dan kawasan perniagaan Putra Nilai dan Putra Point dan Nilai Spring Golf and Country Resort.

Aminuddun menjelaskan, masjid dan surau di kawasan PKPB dibenarkan mendirikan solat jemaah lima waktu terhad kepada tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan siak manakala, solat Jumaat dibenarkan dengan 40 orang jemaah.

Semua premis sosial dan pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok adalah ditutup.

Kedai makan seperti restoran dan kedai serbaneka 24 jam, kedai termasuk gerai makan dan kedai runcit dan aktiviti perniagaan lain dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.

Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran atau pandu lalu bermula 6 pagi hingga jam 8 malam. Bagaimanapun, ‘dine in’ dibenarkan terhad maksimum empat orang satu meja dengan penjarakan fizikal satu meter dan mematuhi SOP sektor makanan.

Related posts

Leave a Comment