Turki longgar sekatan 1 Julai

ANKARA: Turki mengumumkan sekatan yang dikenakan berikutan pandemik Covid-19 akan dilonggarkan mulai 1 Julai sebagai sebahagian usaha untuk mengembalikan kehidupan normal secara beransur-ansur.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, perintah berkurung waktu malam dibatalkan sepenuhnya, larangan perjalanan antara bandar ditamatkan, pembukaan semula tempat kerja dan pawagam, manakala kafe serta restoran dibenarkan beroperasi tanpa had pengunjung.

Sekatan di kemudahan penginapan juga akan ditamatkan dengan pematuhan kepada penjagaan kebersihan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Majlis perkahwinan juga dibenarkan di samping kelonggaran acara seperti konsert, festival, dan kem remaja dengan syarat mematuhi peraturan ditetapkan.

Kuarantin wajib 14 hari bagi pelancong dari Bangladesh, Brazil, Afrika Selatan, India, Nepal, dan Sri Lanka akan ditamatkan.

Sementara tempoh kuarantin wajib bagi pelancong dari Afghanistan dan Pakistan dikurangkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini.

Turki setakat 27 Jun merekodkan 5.4 juta kes dengan 49,576 kematian dan 5.2 juta pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment