Kluster aktiviti jualan nombor ekor

KOTA KINABALU 28 Jun – Aktiviti penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca tercetusnya salah satu daripada tiga kluster baharu Covid-19 di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau melibatkan 12 kes kumulatif dengan kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun dikesan positif pada Rabu lepas (23 Jun) dan saringan kontak rapat mengesan 11 lagi kes positif Covid-19.

Kluster ini melibatkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau.

Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga dan komuniti.

Dalam kenyataannya malam tadi, Masidi memberitahu,  Kluster Tembok Kota Kinabalu pula melibatkan penularan Covid-19 dicetus oleh kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan di sini dan melibatkan 34 kes sehingga semalam.

Kluster ini melibatkan penularan jangkitan di Kota Kinabalu sebanyak 31 kes, Papar dua kes dan Penampang satu kes.

Kes indeks ialah banduan lelaki, warganegara Indonesia berusia 24 tahun yang disahkan positif pada 17 Jun hasil saringan orang kena tahan di penjara itu.

Kluster Linau Kumpang di Kota Belud  pula mencatat 30 kes kumulatif Covid-19.

Kes indeks seorang wanita warganegara Malaysia berusia 40 tahun disahkan positif pada 13 Jun sebelum ujian saringan menemukan 29 lagi kes positif terdiri dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual.

Berdasarkan siasatan awal kes indeks yang berasal dari Kampung Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya di Kampung Linau Kumpang pada 10 Jun lepas.

Related posts

Leave a Comment