Ketidakadilan bekalan vaksin

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi menegur negara-negara yang enggan berkongsi dos vaksin Covid-19 dengan negara-negara berpendapatan rendah.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, negara-negara kaya telah membuka semula kehidupan sosial masyarakat dan memberi vaksin kepada golongan muda yang tidak berisiko tinggi.

Bagaimanapun, negara-negara miskin dibiarkan dengan mengalami kekurangan dos vaksin Covid-19.

“Dunia telah gagal, seperti mana komuniti global, masyarakat juga dianggap gagal,” katanya pada sidang media di Geneva.

Tambahnya, situasi di Afrika menyaksikan jangkitan dan kematian baharu melonjak hampir 40 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Keadaan itu dianggap sebagai sangat berbahaya kerana varian Delta kini telah tersebar di seluruh dunia.

Katanya lagi, perbezaan antara negara yang mempunyai vaksin dan tiada vaksin ketika ini memperlihatkan ketidakadilan dan ketidaksamarataan dunia ini serta ini yang perlu dihadapi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program Kecemasan WHO Dr Mike Ryan berkata, banyak negara membangun jauh lebih baik daripada negara industri dengan melakukan vaksinasi besar-besaran terhadap penduduk, bagi melindungi dari penyakit berjangkit seperti kolera dan polio.

Covax yang dikendalikan bersama pakatan vaksin GAVI dan WHO telah memberikan 90 juta dos vaksin Covid-19 ke 132 negara sejak Februari.

Namun, program itu menghadapi masalah bekalan utama sejak India menangguhkan eksport vaksin.

Penasihat Kanan WHO Bruce Aylward berkata, program Covax bulan ini mempunyai sifar dos vaksin AstraZeneca, Johnson & Johnson dan daripada Serum Institute of India.

Related posts

Leave a Comment