5 hingga 10 % kes libatkan kilang

SHAH ALAM 28 Jun – Hanya 5 hingga 10 peratus kes Covid-19 melibatkan sektor pembuatan dan perkilangan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.

Justeru beliau menolak dakwaan sektor pembuatan dan perkilangan merupakan penyumbang terbesar kenaikan kes jangkitan Covid-19 di negara ini ketika ini.

Tambahnya, adalah tidak wajar untuk menutup sektor terbabit, semata-mata berdasarkan statistik kenaikan kes jangkitan Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dan data yang telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kenaikan kes jangkitan Covid-19 ini bersifat sporadik, bermakna virus ini sudah ada di dalam komuniti.

“KKM telah mengesahkan 75 peratus daripada kes positif datangnya daripada komuniti dan baki 25 peratus adalah daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster di tempat kerja,” katanya selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor Berskala Mega.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan jangkitan Covid-19 dan kluster ini berlaku melibatkan perkhidmatan terbabit namun dengan adanya inisiatif yang dilaksanakan sedikit sebanyak bakal membantu mencapai kelangsungan ekonomi.

“Tidak seperti sektor pendidikan dan sosial kerana kita tutup sepenuhnya, tapi sektor ekonomi, khususnya perkhidmatan yang kita telah benarkan ini berlaku untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Khususnya Malaysia ini sebagai negara yang yang menjadi sebahagian rantaian bekalan global, kita tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, bekalan keperluan asas yang juga melibatkan barang keperluan untuk kesihatan awam seperti sanitizer, ataupun barang-barang keperluan farmasi juga produk yang lain,” katanya.

Beliau menggesa sektor pembuatan dan perkilangan terus mematuhi SOP ketat dan majikan diminta untuk melakukan ujian saringan berskala besar secara berkala bagi memastikan penularan jangkitan dapat dielakkan memandangkan kebanyakan kes positif tidak mempunyai gejala.

Related posts

Leave a Comment