PKPD di 7 kawasan Sabah, Pahang

KUALA LUMPUR 26 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikenakan di tujuh kawasan di Sabah dan Pahang, mulai Isnin ini sehingga 11 Julai berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata di Pahang, PKPD akan dilaksanakan di Tringkap, Cameron Highlands dan sekitar Bandar Jerantut.

Di kawasan Tringkap, dalam tempoh dua minggu sebanyak 70 kes dikesan hasil saringan ke atas 592 orang penghuni di lokaliti itu.

“Di Bandar Jerantut, dalam tempoh 15 hari sehingga semalam (26 Jun) terdapat 186 kes positif Covid-19 dilaporkan selepas 421 penduduk menjalani ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD juga dilakukan lima lokasi di Sabah membabitkan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang) Kinabatangan; Kampung Tuunon, Penampang; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD yang dijadualkan tamat esok di dua lokaliti di Kota Belud, Sabah, membabitkan Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan dilanjutkan.

Katanya, pelanjutan bermula 28 Jun hingga 11 Julai itu dilaksanakan selepas KKM mendapati masih berlaku penularan dalam komuniti serta terdapat kes baharu di lokaliti itu.

Related posts

Leave a Comment