Lonjakan kes berterusan di Indonesia

JAKARTA 26 Jun – Lonjakan kes terus berlaku di Indonesia apabila 21,095 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, kenaikan harian tertinggi berbanding rekod tertinggi yang dicatatkan sebelum ini.

Dengan perkembangan ini,  jumlah keseluruhan kes di negara itu meningkat kepada 2,093,962 kes tertinggi dalam kalangan negara di Asia Tenggara.

Untuk rekod, jumlah kes tertinggi sebelum ini adalah pada 25 Jun dengan merekodkan 20,574 kes, pada 21 Jun 14,536 kes dan 15,308 pada 23 Jun.

Pada masa yang sama, sebanyak 358 kematian akibat koronavirus dilaporkan, menjadikan angka korban meningkat kepada 56,729 orang.

Data yang sama juga menunjukkan penambahan pesakit sembuh sebanyak 7,396 orang menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih berjumlah 1,842,457 orang.

Jumlah kes aktif Covid-19 pula mencatat angka tertinggi hari ini dengan jumlah 194,776 bertambah 13,435. Rekod tertinggi sebelum ini tercatat semalam  (Jumaat) iaitu 181,435.

Indonesia sedang bergelut dengan kenaikan kes jangkitan Covid-19 susulan cuti Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu, yang mana masyarakat Islam balik kampung dan orang ramai membanjiri tempat-tempat daya tarikan.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata pada Jumaat bahawa lebih banyak hospital dan katil disediakan di Jakarta bagi menampung lonjakan dalam kes Covid-19.

Beliau juga memberi jaminan kepada orang awam bahawa ada bekalan oksigen mencukupi di negara itu.

Pemerintah juga sedang membangunkan hospital-hospital sementara Covid-19 di Jakarta yang akan ditempatkan dalam kompleks perumahan bersubsidi pemerintah di Nagrak dan Pasar Rumput bagi merawat pesakit yang tidak bergejala selain yang mengalami simptom ringan.

Related posts

Leave a Comment