Takut vaksinasi kerana durian?

TAPAH 25 Jun – “Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin),” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, yang merujuk berita tular berkaitan kematian akibat makan durian selepas vaksinasi.

Beliau berkata makan durian sama ada sebelum atau selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak memberi kesan sampingan kepada seseorang individu.

“Ini tidak betul, yang betulnya kita tidak boleh makan benda (makanan) terlalu manis. Itu yang (boleh membawa) masalah kepada kesihatan.

“Jadi, tular (hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia kerana makan durian selepas menerima vaksin) adalah tidak benar dan sudah disahkan kematian disebabkan serangan jantung,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran kerana makan durian selepas menerima vaksin yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Dr Noor Azmi berkata, hantaran tular seumpama itu boleh menyebabkan berlaku salah faham dan kekeliruan kepada orang ramai.

“Sekarang pula musim durian. Orang sudah takut nak makan durian, mana yang sepatutnya cucuk (vaksin) dia takut nak pergi sebab dia nak makan durian.

“Kita nasihat orang ramai supaya semak dahulu, pastikan kebenarannya. Jangan teruja mahu menularkan kepada semua dan perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti. Jangan hantar (sebar), biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas suntikan vaksin terungkai apabila punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat satu kes kematian dilaporkan di sebuah restoran di Taman Sri Bintang, Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment