Kuarantin wajib pengembara kekal

PUTRAJAYA 25 Jun – Kerajaan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) pelanjutan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian atau kuarantin selama 21 hari bagi kemasukan pengembara dari negara tertentu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu diambil berikutan 50 peratus negara di dunia telah melaporkan penularan variant of concern (VOC) COVID-19 dalam komuniti.

Katanya, berdasarkan SOP sedia ada, semua pengembara perlu menjalani ujian PCR Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas, dan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara.

 Selain  itu tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan warga asing yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan juga dikekalkan 21 hari di stesen kuarantin ditetapkan oleh kerajaan.

“Pengembara dari lain-lain negara dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh kerajaan. Tempoh itu boleh dilanjutkan menjadi 21 hari jika ada keperluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian ulangan PCR Covid-19, akan dilakukan pada hari ke-10, sekiranya pengembara menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari.

Katanya, sekiranya keputusan ujian ulangan tersebut didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-14.

Beliau berkata, bagi pengembara yang menjalani tempoh kuarantin 21 hari pula,, ujian ulangan PCR Covid-19 perlu dilakukan pada hari ke-18 dan jika didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-21

Jelasnya lagi, pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan Variant Of Interest (VOI).

Related posts

Leave a Comment