Feri jadi muzium, restoran terapung

TANJONG 22 Jun – Lima feri ikonik lama akan berpindah tangan dari Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) kepada syarikat yang berkelayakan, mulai 1 Julai depan, kata Pengerusi SPPP, Tan Teik Cheng.

Katanya, mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan ini sudah meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubah suai dan mengendalikan lima feri ikonik itu.

SPPP sebelum ini banyak menerima cadangan berhubung feri ikonik terbabit selepas membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) dari 29 Januari hingga 18 Mac lalu.

“SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen disambung selama lima tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Syarikat terbabit akan mengubah suai feri ikonik berkenaan menjadi sebuah muzium terapung, dua feri pelancongan dan dua restoran terapung.

“Syarikat berkenaan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubah suai feri ikonik terbabit sebelum beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, misi utama SPPP sekarang ialah memastikan lima feri ikonik itu terus muncul di perairan Pulau Pinang.

“Saya percaya feri berkenaan akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik, sekali gus akan mendorong sektor pelancongan dan merangsang ekonomi Pulau Pinang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment