Enam bulan naik bot percuma

TANJONG 22 Jun – Selama enam bulan, warga Malaysia boleh menggunakan perkhidmatan bot penumpang laju di Pulau Pinang secara percuma bermula 1 Julai  ini, kata Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, inisiatif itu antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bagi meringankan beban rakyat ketika pandemik Covid-19 sekarang ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, pembiayaan tambang bot itu melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan, dengan jumlah keseluruhan peruntukan dianggarkan sebanyak RM468,000.

Penumpang hanya perlu membawa MyKad/Kad Pengenalan sahaja dan perlu tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebelum menaiki bot,” katanya.

Zairil berkata, cadangan itu juga adalah susulan kepada pas perjalanan My30 yang dilancarkan pada 1 Mac lalu, di mana kerajaan negeri membiayai perkhidmatan bas awam milik Rapid Penang secara percuma kepada semua penumpang yang melanggan pas tersebut.

Katanya, kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang bot itu, jaringan pengangkutan awam melalui air dan darat secara menyeluruh dapat digunakan secara percuma oleh pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Related posts

Leave a Comment