UMNO beri tempoh 14 hari

KUALA LUMPUR 21 Jun – Apa langkah UMNO seterusnya jika dalam tempoh 14 hari daripada hari ini kerajaan tidak memanggil sidang Parlimen seperti yang dititahkan

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah pada 16 Jun lalu?

Ini berikutan kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak kerajaan tidak berdolak-dalik dengan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kenyataan media Istana Negara berkaitan sidang Parlimen itu.

“UMNO berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

Ahmad Zahid berkata, sebagai parti yang diasaskan dengan tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sehubungan itu, katanya, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

UMNO berpendirian, Parlimen amat mustahak untuk diadakan segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19 serta bagi memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Related posts

Leave a Comment