Fasa ketiga PICK bermula

PUTRAJAYA 21 Jun – Sebanyak 5,815,575 dos pertama dan kedua vaksin sudah diberikan setakat semalam, menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV),  seramai 4,202,601 individu menerima dos pertama, manakala 1,612,974 lagi melengkapkan dos kedua.

Berdasarkan statistik terbabit, lima negeri mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi iaitu Selangor dengan 208,031 diikuti Sarawak (186,008), Johor (167,469), Perak (150,200) dan Kuala Lumpur (141,094).

Mengenai vaksinasi harian bagi PICK, sebanyak 140,573 dos diberikan semalam membabitkan 116,514 penerima suntikan pertama, manakala 24,059 lagi dos kedua.

Mengenai pendaftaran, berdasarkan laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, sebanyak 15,426,982 pendaftaran direkodkan setakat semalam.

Sementara itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Bukit Jalil memulakan operasi hari ini, Isnin, 21 Jun 2021.

Dengan kapasiti 10,000 dos sehari, PPV ini yang didirikan di trek balapan akan menumpukan golongan bawah 40 tahun di Lembah Klang.

Ia juga bertepatan dengan Fasa Ketiga PICK yang membabitkan pemberian vaksin kepada 13.7 juta penduduk, yang bermula secara rasmi di Lembah Klang, hari ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, fasa ketiga boleh bermula di Selangor dan Putrajaya kerana kira-kira 90 peratus warga emas yang mendaftar untuk menerima vaksin di kawasan itu, sudah menerima dos pertama vaksin atau janji temu suntikan.

Related posts

Leave a Comment