Lonjakan di Indonesia, kini 2 juta kes

JAKARTA 21 Jun  – Indonesia terus mencatatkan lonjakan kes Covid-19 dengan merekodkan 14,536 kes,  tertinggi sejak pandemik diumumkan 2 Mac 2020 dan pada masa yang sama menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 2,004,445 kes.

Semalam sebanyak 13,737 kes harian direkodkan dan angka tertinggi yang pernah diisytiharkan sebelum ini adalah 14,518 pada 30 Januari dan 14,224 pada 16 Januari

Kes aktif yang masih memerlukan rawatan pula adalah sebanyak 147,728.

Pada masa yang sama jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan apabila 294 lagi pesakit meninggal dunia yang membawa kepada jumlah kematian 54,956 orang.

Bagi kes pesakit sembuh pula, sebanyak 9,233 orang dilaporkan pulih dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 1,801,761 orang.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo dalam hantaran Facebooknya berkata, lonjakan kes di beberapa daerah memerlukan semua pihak bekerja lebih keras untuk mengendalikan pandemik ini termasuk meningkatkan vaksinasi.

Katanya, sejak Khamis, pemerintah telah mencatat angka 716,000 vaksinasi sehari dan akan berusaha mencapai angka satu juta vaksinasi sehari.

“Dengan koordinasi dan kerjasama yang baik antara Kementerian Kesehatan, TNI, Polri, dan pemerintah daerah, target tersebut tentu akan kita capai,” katanya.

Indonesia telah menerima 104.728.400 dos vaksin dari Sinovac, AstraZeneca, dan Sinopharm. Jumlah ini adalah sebahagian dari kira-kira 426,8 juta dos vaksin Covid-19 yang diperoleh melalui pelbagai pendekatan bilateral dan multilateral.

Pada masa yang sama, ketika usaha vaksinasi giat dilakukan, Jokowi juga berharap rakyat terus mematuhi protokol kesihatan termasuk memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, menjaga jarak dan menghindari kawasan sesak.

Related posts

Leave a Comment