Covid-19 : Kes sporadik masih tinggi

PUTRAJAYA 21 Jun – Kes sporadik masih berada pada peratusan yang agak tinggi iaitu 69 peratus atau 398,846 kes sehingga Minggu Epidemiologi ke-54, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Untuk rekod, dari 1 Januari 2021 hingga 19 Jun 2021 (Minggu Epidemiologi (ME) ke-24/2021), Malaysia merekodkan 578,105 kes Covid-19.

Tambahnya, Selangor terus menjadi negeri tertinggi mencatat kes sporadik, iaitu sebanyak 151,725 kes atau 38 peratus, diikuti Kuala Lumpur 44,517 kes (11.2 peratus), dan Sarawak 44,889 kes (10.3 peratus)

Tiga daerah tertinggi yang mencatat kes sporadik tertinggi adalah di Lembah Klang iaitu di daerah Petaling,  daerah Hulu Langat dan daerah Klang.

“Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun dari saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun PKP 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes kluster pada ME ke-24, kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

Tambahnya, kawasan Lembah Klang dengan kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan daripada kes-kes Covid-19 tersebut tidak mempunyai gejala.

“Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai Covid-19 di kalangan kita,” katanya.

Justeru beliau menggesa masyarakat untuk terus konsisten mematuhi sepenuhnya SOP, dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes CA-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Related posts

Leave a Comment