Thailand catat kenaikan 3,667 kes

BANGKOK 19 Jun – Thailand terus mencatatkan kenaikan kes jangkitan Covid-19 apabila merekodkan 3,667 kes hari ini berbanding 3,058 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 214,449 kes.

Sebanyak 32 lagi pesakit yang dikaitkan dengan Covid-19 dilaporkan meninggal dunia yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,609 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), sebanyak 3,232 kes adalah orang awam termasuk 32 kes import manakala 435 lagi adalah berkaitan penjara.

Pada masa yang sama sebanyak 4,948 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 181,358 orang.

Sementara kes kematian pula melibatkan mereka yang berumur antara 40 hingga 89 tahun atau purata umur 64.5 tahun dan jantina pula 15 lelaki dan 17 wanita.

Sebanyak 19 kematian dilaporkan di Bangkok, Nakhon Pathom (3), Samut Prakan (3), Phetchaburi (2) Khon Kaen (2) masing-masing satu di Samut Sakhon, Chon Buri dan Chachoengsao.

Bangkok juga merekodkan kes tertinggi iaitu 1,218, Samut Prakan 495, Samut Sakhon 171, Pathum Thani, 167, dan Chon Buri 145.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari Ethiopia (3), Bahrain (1), Afrika Selatan (1), dan Kemboja(27).

Daripada 31,482 orang yang dirawat di hospital, 1,343 dalam keadaan kritikal termasuk 383 yang bergantung kepada bantuan pernafasan.

Bagi program vaksinasi, sebanyak 7.48 juta sudah disuntik yang meliputi 5.43 juta dos pertama dan 2.04 juta dos kedua.

Related posts

Leave a Comment