Guna pengangkutan sesuai

PUTRAJAYA 15 Jun – Bawa pekerja seperti bawa ayam ! Mungkin itulah ungkapan terhadap majikan yang menggunakan lori untuk membawa pekerja kilang memproses ayam Sungai Lalang, Bedong, Kedah ke klinik kesihatan Ahad lalu.

Ahad lalu, polis menahan sebuah lori yang membawa 48 pekerja yang positif Covid-19 dan memakai gelang merah ketika dalam perjalanan ke asrama selepas membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

Tindakan itu mendapat reaksi Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang mengingatkan majikan yang perlu membawa pekerja mereka untuk tujuan saringan atau kuarantin supaya menggunakan pengangkutan yang sesuai bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan orang awam.

Sehubungan itu agensi KSM, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan meneliti insiden itu mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

KSM menggesa para majikan untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja terutamanya dalam tempoh mencabar ini,” kata KSM dalam satu kenyataan.

Sementara itu pemandu lori berkenaan disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Pihak pengurusan kilang terbabit pula akan disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit yang berbahaya pada nyawa.

Related posts

Leave a Comment