PKP 3.0 dikaji jika turun 4,000 kes

JOHOR BAHRU 13 Jun –  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu  akan dinilai semula jika jumlah jangkitan harian Covid-19 negara ini mencapai angka bawah 4,000 kes.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan risiko jangkitan harian seluruh negara dapat diturunkan.

“Bukan bermakna kita tamatkan PKP 3.0, tetapi kita kaji semula dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada boleh dilonggarkan sedikit.

Saya tak janji longgarkan (PKP 3.0) tetapi ia semua bergantung pada nasihat KKM menerusi penilaian risiko yang dibuat,” katanya.

Ismail Sabri mengulas saranan pakar kesihatan dan persatuan perniagaan supaya kerajaan tetapkan angka petunjuk atau indikator untuk tentukan tempoh pelaksanaan PKP 3.0 boleh ditamatkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berharap menjelang minggu hadapan jumlah jangkitan harian akan menurun di bawah 4,000 kes sehari berikutan pelaksanaan PKP 3.0.

“Ini kerana impak PKP 3.0 hanya akan kita nampak hasilnya selepas esok atau dalam tempoh 14 hari pelaksanaannya. Kita berdoa supaya lepas esok kes menurun sehingga 4,000 supaya kita boleh kaji semula PKP 3.0,” katanya.

Mengenai pelan keluar pandemik Covid-19, ia boleh dilaksanakan apabila negara mencapai imuniti kelompok atau sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini divaksin.

Katanya vaksinasi rakyat bagi mencapai imuniti kelompok adalah keutamaan kerajaan ketika ini sebelum pelan keluar pandemik dapat dilaksanakan.

“Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas exit plan (pelan keluar pandemik) minggu hadapan. Mesyuarat itu adalah bagi memperincikan rancangan untuk negara keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara keseluruhannya.

“Namun paling utama ketika ini adalah vaksinasi rakyat. Jika kita boleh capai imuniti kelompok dengan segera seperti yang disasarkan atau sekurang-kurangnya selepas 60 peratus rakyat dapat vaksinasi jadi kita percaya perlahan-lahan negara boleh keluar PKP secara menyeluruh,” katanya

Related posts

Leave a Comment