PKPD di kampus UUM Sintok

KUALA LUMPUR 11 Jun – Lima lagi lokaliti di dua buah negeri termasuk Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 13 sehingga 26 Jun.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakub memaklumkan selain UUM, turut terlibat Kampung Kadazan, Tawau, Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai di Kota Kinabalu serta di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah .

Bagi Kampus UUM di Sintok, Ismail Sabri menjelaskan PKPD dilaksanakan setelah dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti.

KKM juga mendapati, berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Bagi Kampung Kadazan di Tawau,  berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu apabila sebanyak 14 kes positif Covid-19 telah dilaporkan hasil daripada 45 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti 31.11%.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di di Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai, KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara apabila sebanyak 15 kes dikesan hasil daripada 20 ujian saringan dijalankan di dua perkampungan itu.

Manakala bagi PKPD di Taman Villa Felca Nambazan di Penampang, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut apabila sebanyak 8 kes positif telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

Related posts

Leave a Comment