PKPD di tujuh lokaliti

KUALA LUMPUR 10 Jun – Tujuh lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu.dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 12 Jun sehingga 25 Jun.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu adalah di tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

Turut terlibat di Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor ; Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah ; Kampung Kolong 2, Kuching, Sarawak dan Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri, berkata, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu, Mukim Sitiawan, Manjung, Perak, Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah dan Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah pada 11 Jun seperti yang dijadualkan.

Sementara PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah ditamatkan pada 11 Jun, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Ismail Sabri juga memaklumkan pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jun sehingga 9 Jun.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Rabu di mana daripada jumlah itu, seramai 877 individu dikompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

Kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (208), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (148), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (147), tiada penjarakan fizikal (123), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81), membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (83).

Operasi Benteng pula merampas dua buah kenderaan darat dan sebuah bot/kapal.

Related posts

Leave a Comment