58 kluster Aidilfitri, 2 Hari Gawai

PUTRAJAYA 10 Jun – Terdapat 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (2 kluster) dilaporkan dalam tempoh 13 Mei 2021 sehingga 10 Jun 2021.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 13,023 individu disaring dalam kluster ini, di mana 3,511 kes Covid-19 telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.

Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan (8) kluster (13.3 peratus), serta Kedah  dengan 7 kluster (11.7 peratus).

Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh yang singkat.

Justeru KKM mengingatkan masyarakat tidak leka serta mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut bagi mengelak peningkatan kes secara mendadak.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini,” kata kenyataan itu.

Menurut KKM, masyarakat wajar mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19 dengan baik di negara mereka.

“Mereka telah membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment