India catat kematian tertinggi

NEW DELHI 10 Jun – India hari ini mencatat rekod global 6,148 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam setelah sebuah negeri menyemak datanya, sekaligus menimbulkan kecurigaan bahawa angka korban jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, dengan perkembangan ini menjadikan jumlah kematian kepada hampir 360,000, yang ketiga tertinggi di dunia.

Rekod dunia sebelum ini adalah 5,527 di Amerika Syarikat pada 12 Februari, juga setelah semakan semula angka kematian sebelumnya.

Pada Rabu, wilayah timur Bihar menaikkan jumlah kematiannya dari 4,000 kepada hampir 9,500 setelah menyemak rekod kematian.

Mahkamah tinggi Bihar di Patna menuntut audit terhadap angka korban setelah tuduhan bahawa pemerintah tempatan menyembunyikan skala jangkitan dan kematian.

Tuduhan serupa dilemparkan kepada pemerintah wilayah lain setelah lonjakan koronavirus baru-baru ini menyaksikan mayat mangsa Covid-19 bertali arus memenuhi rumah pembakaran mayat menyebabkan ratusan mayat dibuang di sungai atau dikebumikan di liang lahad yang cetek.

Related posts

Leave a Comment