PUTRAJAYA 29 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan dan tidak lagi membenarkan jualan tiga produk kosmetik dalam pasaran yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengatakan produk itu N Glowing EWSB mengandungi racun berjadual jenis merkuri; Karisma Golden Turmeric Cream (merkuri dan betamethasone 17-valerate) dan SL Two Intensive (hydroquinone dan betamethasone 17-valerate).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Dalam kenyataannya, beliau berkata merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan, juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
“Produk yang mengandungi hydroquinone dan betamethasone 17-valerate pula ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata, penggunaan produk yang mengandungi hydroquinone boleh menyebabkan kesan sampingan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensiti.
“Ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Betamethasone 17-valerate pula menyebabkan, bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.
Beliau mengingatkan agar penjual dan pengedar produk kosmetik itu menghentikan segera penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran melanggar peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dengan individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama; dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu juga dinasihati segera menghentikan penggunaan dan mendapat nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.
Nnnn
