Vaksin ke Selangor dipertingkat

PUTRAJAYA 9 Jun – Selepas Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa,  vaksin Covid-19 ke negeri Selangor akan dipertingkatkan dalam masa terdekat selain membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin

Menurut Khairy, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mengakui populasi golongan dewasa di negeri Selangor sangat tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, keutamaan dalam agihan vaksin seharusnya diberikan kepada negeri ini memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Baginda juga terkejut apabila disahkan oleh CITF bahawa sehingga 1 Jun lalu, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

Khairy berkata, setakat ini penghantaran vaksin di negeri itu adalah sebanyak 17 peratus daripada bekalan di seluruh negara.

“Kapasiti PPV di negeri Selangor tidak mampu menampung penghantaran kapasiti yang lebih besar maka kita buat keputusan untuk pertingkat penghantaran vaksin di Selangor dengan pembukaan lebih banyak PPV,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Khairy berkata, beberapa PPV mega akan dibuka dalam masa terdekat selepas pembukaan beberapa lagi PPV berskala besar antaranya di Pusat Konvensyen Setia Alam, UiTM Puncak Alam.

Beliau dalam masa sama mengambil maklum titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana negeri itu menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!