Korban hanya di rumah sembelihan

JOHOR BAHRU 6 Jun – Ibadah korban di Johor hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Mufti Johor, Yahya Ahmad berkata, agihan daging korban pula akan dilaksanakan terus oleh pihak penganjur kepada peserta dan asnaf fakir miskin selepas selesai kerja ibadat korban di rumah sembelihan.

Justeru segala aktiviti yang melibatkan sembelih, memotong, menimbang dan mengagihkan daging korban pada Aidiladha tahun ini tidak dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh Johor.

Beliau berkata, tahun ini pusat penyembelihan yang berdaftar berjumlah 115 rumah sembelih sementara di negeri ini; 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan); lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di semua daerah.

Katanya, walaupun begitu pelaksanaan ibadat korban dibenarkan hanya melibatkan ibadat wajib iaitu  korban nazar dan korban kali pertama iaitu mereka berkemampuan tetapi belum melaksanakan ibadat tersebut sebelum ini.

“Tarikh dan masa dibenarkan ialah bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, pelaksanaan korban pada hari pertama hendaklah selepas solat sunat Aidiladha dan khutbah dilaksanakan,” katanya.

Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar, katanya, tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

Related posts

Leave a Comment