Perginya ‘pengurus, ibu, kakak, sahabat’

UTUSAN Melayu telah lama ‘mati’ tetapi semangat Kak Rose untuk ‘berkhidmat’ kepada keluarga Utusan ‘tidak pernah mati’. Sehingga ke akhir hayatnya, jawatannya masih kekal bersama Utusan Melayu.

Itu yang terlintas di fikiran saya menjelang Maghrib petang ini sebaik sahaja menerima khabar duka pemergian Kak Rose atau Roseminah Ahmad, 73.

Kak Rose meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur selepas menerima rawatan di hospital berkenaan tiga minggu lepas. Pemergian yang amat tragis, korban Covid-19.

Allahyarham menyertai Utusan sebagai wartawan pada tahun 1968 dan pernah memegang jawatan pengarang majalah Wanita yang popular pada waktu itu.

Seterusnya dinaikkan pangkat sebagai ketua pengarang majalah dan kemudian ke jawatan lebih tinggi sebagai Pengurus Jabatan Pengarang.

Mengenali Kak Rose, seorang insan yang baik, peramah dan mudah mesra bersama kakitangannya. Bukan sekadar seorang wartawan, pengurus tetapi juga ibu, kakak dan sahabat. Sebagai kakitangan Utusan, banyak nasihat dan tunjuk ajar diberi sama ada semasa arwah masih bersama Utusan dan selepas Allahyarham bersara pada 2005.

Saya sempat sepenggal bersama sebagai ahli jawatankuasa Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM). Kak Rose sebagai Timbalan Presiden KVUM adalah antara yang aktif mengambil tahu kebajikan terutama anggota KVUM serta bekas kakitangan yang uzur atau terlantar sakit.

Allahyarham bersama ahli jawatankuasa sentiasa berusaha mencari dana bagi menggerakkan KVUM. Usaha terakhir melalui Yayasan Utusan.
Semoga usaha murni Allahyarham mendapat ganjaran pahala.

Sedih, kami tidak mampu menziarahi, dan tidak berupaya mengiringi hingga ke tanah perkuburan. Hanya mampu mengiringi dengan doa dari jauh.

Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

“Ya Allah, kami memohon kepada Mu agar Engkau mengampuninya, merahmatinya, memuliakannya, dan menerima segala amal kebajikannya. Kami mohon ya Allah, Engkau jadikanlah syurga sebagai tempat tinggal yang kekal abadi buat insan yang kami kasihi ini. Dan tempatkanlah rohnya dalam kalangan orang yang beriman”

Aamiin Ya Rabbal ‘Alaamiin.
(Foto atas program ziarah KVUM di Terengganu)

Allahyarham (tiga dari kiri) dan kiri sekali suami, Mejar (B) Kamal

 

Related posts

One Thought to “Perginya ‘pengurus, ibu, kakak, sahabat’”

  1. BORHAN BIN MAT ARIS

    Salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah Kak Rose. Saya juga mengenali allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Kak Rose…. aamiin

Leave a Comment