26.59 juta pulih di India

NEW DELHI 5 Jun – India merekodkan penurunan kes harian COVID-19 sehingga 63 peratus sejak ia mula mencatatkan peningkatan drastik pertengahan Mei lalu.

Bagaimanapun, sekatan pergerakan terus dilaksanakan di sebahagian besar negara itu termasuk di New Delhi.

Ini termasuk penutupan sektor perniagaan untuk tempoh sebulan lagi.

Semalam India mencatatkan 132,364 lagi kes baharu Covid-19 dengan jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah 28,574,350.

Sebelum itu , India mencatatkan 134,154 kes baharu dengan 2,887 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga, seramai 340,702 orang maut setakat ini dengan pertambahan sebanyak 2,713 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Lebih 26.59 juta orang sudah pulih sejak wabak mula dikesan di India.

Bagaimanapun Menteri Kesihatannya, Luv Agarwal, memberi amaran bahawa usaha memerangi pandemik itu masih belum berakhir.

“Jika kita bandingkan dengan minggu lepas dan minggu ini, kita mendapati penurunan sehingga 33 peratus mingguan.

“Secara keseluruhannya jika kita bandingkan pada waktu kemuncak, kita mendapati penurunan sehingga 63 peratus di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilakukan di samping mematuhi peraturan Covid-19 yanh ditetapkan.

India melepasi rekod 28.5 juta kes secara kumulatif di seluruh negara dengan 340,000 kematian.

Related posts

Leave a Comment