Tersalah suntik jenis vaksin

(Foto hiasan dari FB MoE)
SINGAPURA 4 Jun – Seorang remaja diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama 50 minit, selepas beliau diberikan dos pertama vaksin Moderna bukannya vaksin Pfizer-BioNTech yang diluluskan bagi kumpulan usianya.

Bagaimanapun remaja berusia 16 tahun itu dalam keadaan baik dan pihak berkuasa akan terus memantau dengan lebih dekat kesihatan remaja berkenaan.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MoH) dan Kementerian Pendidikan (MoE) hari ini, keselamatan mereka yang menerima vaksin adalah keutamaan nombor satu dan “memandang serius terhadap kejadian ini”.

“Kami mohon maaf atas kesulitan dan kegelisahan yang dialami, dan telah menghubungi ibu bapa remaja berkenaan untuk menjelaskan tentang situasi tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kesilapan itu dikesan setelah kakitangan di pusat vaksinasi tersebut mendapat tahu bahawa remaja lelaki itu berusia bawah 18 tahun semasa tempoh pemantauan selepas divaksin di Kelab Masyarakat Kolam Ayer.

Siasatan mendapati tarikh lahir remaja berkenaan salah dimasukkan semasa membuat pendaftaran bagi janji temu vaksinasi setelah menerima pautan untuk berbuat demikian.

“Ini mengakibatkan usianya didaftarkan secara tidak betul sebagai berusia 18 tahun ke atas, membolehkan pusat vaksinasi Moderna dijadikan sebagai salah satu pilihan,” menurut kedua-dua kementerian itu.

Kakitangan pusat vaksinasi pula gagal mengesahkan usia remaja itu semasa pendaftaran, yang sepatutnya dilakukan.

Justeru, satu semakan menyeluruh terhadap proses dalaman di pusat-pusat vaksinasi dijalankan  bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Ini termasuk mengukuhkan proses pendaftaran online bagi memastikan para individu membuat janji temu di pusat vaksinasi yang sesuai berdasarkan kelayakan mereka, serta menetapkan protokol yang lebih ketat di pusat-pusat vaksinasi untuk mengesahkan kelayakan.

Individu berusia bawah 18 tahun hanya ditawarkan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, berdasarkan kelulusan kesesuaian perubatan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi vaksin-vaksin tersebut.

Manakala individu berusia 18 tahun dan ke atas boleh memilih antara vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna.

Program vaksinasi untuk kumpulan pelajar itu bermula semalam.

Related posts

Leave a Comment