Pahang peruntuk RM9.3 juta

KUANTAN 4 Jun – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM9.3 juta sebagai Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 Fasa Dua kepada rakyat negeri itu yang terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan itu diberikan secara bersasar, melibatkan beberapa sektor.

Dalam kenyataannya, beliau berkata antara golongan penerima bantuan ini ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerja mereka, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing serta sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Turut menerimanya ialah masyarakat Orang Asli menerusi tok batin mereka, ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni.

Wan Rosdy berkata penerima lain ialah penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB).

Related posts

Leave a Comment