AZ: Pendaftaran bersyarat lulus

PUTRAJAYA 4 Jun – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 yang bersidang hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat produk vaksin Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection keluaran AstraZeneca untuk kegunaan semasa bencana daripada pengilang kedua, Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengilang kedua ini merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac 2021, yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah.

Sebagai makluman, Kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX. Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co. Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” ujarnya lagi.

Kementerian Kesihatan juga akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” tambah beliau.

Related posts

Leave a Comment