Lagi PKPD di tiga negeri

KUALA LUMPUR 3 Jun – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan di tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah serta Pahang.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, PKPD di kawasan-kawasan berkenaan berkuat kuasa selama 14 hari bermula 5 Jun hingga 18 Jun ini.

Di Sarawak, ia melibatkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah.

Sementara PKPD di Sabah masing-masing melibatkan Kampung Pengaraban di Kudat, Kampung Sugud di Penampang serta empat lokaliti di Tawau.

Empat lokaliti di Tawau adalah Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.

PKPD di Pahang pula dilaksanakan di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah di Rompin selepas berlaku peningkatan kes mendadak dalam tempoh seminggu.

Sementara itu dua PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan dan 15 Mukim dalam daerah Besut di Terengganu dilanjutkan sehingga 18 Jun depan.

Selain itu, tujuh PKPD ditamatkan iaitu PKPD Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut di Terengganu; PKPD Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut di Pahang; PKPD Kampung Indani, Semporna serta PKPD Kampung Pisang, Tawau di Sabah.

Tiga lagi kawasan yang turut ditamatkan PKPD ialah enam Mukim di Perak; PKPD Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan serta PKPD Kampung Boyan, Kuching, Sarawak.

Related posts

Leave a Comment