3 kanak-kanak maut akibat Covid-19

PUTRAJAYA 3 Jun – Tiga kes kematian Covid-19 yang melibatkan kanak-kanak di bawah 5 tahun telah dilaporkan sepanjang tahun 2020, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Bagaimanapun, bilangan yang sama telah direkodkan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu tiga kematian dalam lima bulan pertama bagi tahun 2021.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes di mana enam daripadanya berumur bawah 5 tahun.

“Manakala bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes memerlukan rawatan di ICU dan 19 kes daripadanya adalah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap agar semua pihak terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting.

“Ia bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar dari virus Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment