Bantuan ke Gaza ditingkatkan

BAITULMAQDIS: Israel akan membenarkan peningkatan bantuan ke Gaza dalam tempoh beberapa hari akan datang dan menyeru orang awam Palestin menuju ke kawasan yang disifatkannya sebagai zon “kemanusiaan” di selatan wilayah Palestin.

“Dalam minggu akan datang kami merancang untuk meningkatkan secara mendadak jumlah bantuan” menuju ke Gaza dari Mesir, kata Agensi Kementerian Pertahanan Israel.

Menurut laporan media, Israel sudah menetapkan zon kemanusiaan di selatan Semenanjung Gaza di kawasan Khan Younis.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad (29 Okt) memberi amaran bahawa keadaan di Gaza mula porak-peranda, selepas beribu-ribu penduduk Gaza menggeledah gudang makanannya di Palestin.

Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan tepung, gandum dan bekalan lain diambil dari beberapa gudang.

“Ini adalah isyarat yang membimbangkan bahawa ketenteraman awam kian terjejas dan semakin porak-peranda akibat peperangan yang sudah berlangsung selama tiga minggu dan sekatan yang ketat,” kata ketua UNRWA Gaza Thomas White.

Salah satu gudang di bandar Deir al-Balah digunakan untuk menyimpan bekalan dari konvoi kemanusiaan yang mula memasuki Gaza dari Mesir, pada 21 Oktober.

Related posts

Leave a Comment