218 gagal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR 3 Jun – Sebanyak 218 daripada 987 individu yang ditahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sebanyak 196 kes melibatkan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (135); membawa penumpang berlebihan (127); tiada penjarakan fizikal (125).

Sebanyak 68 individu tidak patuh arahan kawalan pergerakan; aktiviti pusat hiburan (35); premis gagal patuhi arahan (12); manakala 71 kes lain-lain.

Beliau berkata, daripada 987 individu itu, 939 individu dikompaun, 47 direman manakala seorang lagi dijamin.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 83,842 pemeriksaan semalam.

“”Ia melibatkan 5,065 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 18,977 anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan pada Rabu.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas sebuah kenderaan darat dalam operasi berkenaan, selain sebanyak 184 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment