Pesawat: Nota bantahan kepada China

KUALA LUMPUR 2 Jun – Kementerian Luar akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan China atas pencerobohan 16 pesawat milik tentera udara negara itu ke dalam ruang udara Malaysia.

Menterinya Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya juga akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas iaitu mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara. Tetapi tidak sekali kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” ujar Hishammuddin dalam kenyataan malam tadi

Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Ackbal Abdul Samad berkata, pesawat mencurigakan itu telah memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada pagi Isnin.

“TUDM mengesahkan telah mengesan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat itu dikesan terbang dalam formasi taktikal ‘in-trail’ sekitar 60 batu nautika (111km) antara satu sama lain,”.

Ia menambah bahawa pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu FIR.

Susulan kejadian itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Jelasnya, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang waktu tempatan untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.

TUDM menegaskan insiden tersebut merupakan ancaman serius terhadap kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan, dan menambah Kementerian Luar Negeri juga telah dimaklumkan mengenainya.

Related posts

Leave a Comment