Covid-19 : Lakukan semuanya !

LAKUKAN semuanya. Itu mesej Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada kerajaan dan penduduk dunia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya kita bertindak bersama hari ini, kita dapat menyelamatkan nyawa, kita dapat menyelamatkan mata pencarian jika kita melakukan semuanya bersama-sama,” katanya dalam taklimat media secara maya dari Geneva.

Kataya, walaupun harapan bagi penemuan vaksin Covid-19 adalah tinggi, namun tiada “penyelesaian mudah” bagi mengatasi virus korona itu yang sudah menjangkiti jutaan orang di seluruh dunia.

Justeru WHO menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada langkah-langkah mengamalkan asas kesihatan awam dan juga kawalan penyakit bagi melindungi diri dan orang lain.

Ini termasuk melakukan ujian, pengesanan kontak, kuarantin, mengamal jarak selamat, memakai pelitup muka, membersih tangan dengan kerap, menjaga etika batuk dan mengelak tempat yang sesak bagi membendung penularan Covid-19.

“Buat masa ini, untuk menghentikan penularan adalah berpandukan kepada amalan asas kesihatan awam dan kawalan penyakit. Lakukan semuanya,” katanya.

Beliau juga mahu pemakaian pelitup muka sebagai lambang perpaduan dan memberi mesej yang kuat kepada orang ramai bahawa kita semua bersama-sama  memerangi wabak Covid-19.

Covid-19 sudah membunuh lebih 690,000 orang dan menjangkiti sekurang-kurangnya 18.1 juta orang, sejak penularan bermula di Wuhan, China, Disember tahun lalu.

Pada Mei lalu, WHO mendesak China menjemput pakar bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti haiwan yang menjadi punca virus Covid-19.

WHO menghantar pakar epidemiologi dan kesihatan haiwan ke Beijing pada 10 Julai lalu untuk meneliti kawasan wabak bagi mengenal pasti punca penyebaran virus hingga menjangkiti manusia itu.

Tedros berkata, misi kumpulan pakar tersebut kini sudah selesai.

“Pasukan WHO yang berkunjung ke China sudah menyelesaikan misi mereka di kawasan wabak untuk menjalankan usaha sama lebih lanjut bagi mengenal pasti punca virus ini,”jelas beliau.

“WHO dan pakar China sudah merangka terma rujukan bagi program dan kajian untuk pasukan antarabangsa, diketuai WHO. Pasukan ini turut membabitkan saintis dan pengkaji terkemuka dari China dan seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kajian epidemiologikal akan bermula di Wuhan bagi mengenal pasti potensi sumber jangkitan kes awal. Bukti dan hipotesis dihasilkan melalui kerja di kawasan wabak yang dijangka mengambil masa yang panjang.

Gabungan itu bagaimanapun belum kembali ke ibu pejabat WHO di Geneva untuk sesi taklimat.

Saintis percaya virus yng membawa maut itu disebarkan daripada haiwan ke manusia, berkemungkinan dari pasar di bandar Wuhan yang menjual daging haiwan eksotik. 

Related posts

Leave a Comment