9 tip penjimatan elektrik ‘lockdown’

PENGUMUMAN pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (lockdown) bermula 1 Jun 2021 menimbulkan kebimbangan dan tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia pada waktu yang mencabar ini.

Duduk di rumah, bekerja dari rumah, belajar dari rumah serta aktiviti harian di rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya akan menyebabkan penggunaan elektrik berterusan sepanjang hari atau 24 jam.

Bagaimanapun pelanggan mempunyai pilihan untuk memantau dan mengurus penggunaan peralatan elektrik di kediaman mereka bagi mengelak pembaziran tenaga.

Ini termasuklah menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tip kecekapan tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti alat pemanas air, alat pendingin hawa, mesin basuh dan lampu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sembilan tip sebagai langkah-langkah kecekapan tenaga iaitu:

  1. Mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas sepenuhnya. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas;
  2. Memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutupkan sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat alat pendingin hawa boleh dilaraskan lebih tinggi (antara 24 hingga 26 darjah Celsius) bagi penggunaan elektrik yang cekap;
  3. Tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa bagi mengurus dan menjimatkan tenaga. Sebelum tidur, cuba tetapkan ia untuk ditutup beberapa jam selepas digunakan untuk penggunaan elektrik yang lebih cekap;
  4. Bersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa;
  5. Manfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan kos penggunaan lampu;
  6. Penggunaan air panas semasa mencuci pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan;
  7. Apabila menggunakan ketuhar elektrik, membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan masa hidangan dimasak bahkan ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar;
  8. Mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak dekoder (set-top boxes) seperti Astro dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang; dan
  9. Masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.

Maklumat lanjut berkaitan cara-cara penggunaan elektrik yang berhemat boleh didapati pada portal myTNB https://www.mytnb.com.my .Pengguna juga boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman menerusi MAEVi, layari https://maevi.my!

Related posts

Leave a Comment