Negeri turut sumbang gaji, elaun

PEMIMPIN kerajaan negeri turut menyumbang gaji atau elaun mereka sebagai tanda sokongan terhadap usaha menghadapi pandemik Covid-19.

Di IPOH Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan 10 exco bersetuju menyumbang tiga bulan gaji bermula Jun kepada Tabung Bencana Covid-19.

Katanya, langkah ini diambil bagi menghadapi impak pandemik Covid-19 termasuk penutupan sektor sosial dan ekonomi selama dua minggu sehingga 14 Jun ini.

Di TANJONG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menyumbangkan satu bulan gaji (Jun 2021) kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu sebagai tanda solidariti dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di Pulau Pinang. Ini kali kedua sumbangan selepas kali pertama pada tahun 2020.

Sementara itu, di SEREMBAN, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata barisan Exco Kerajaan Negeri Negeri Sembilan telah melaksanakan pemotongan elaun lebih awal iaitu sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana negeri selama enam bulan bermula Januari lepas.

”Sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu buat pemotongan (selepas ini), kita amat menggalakkan dan akan memaklumkannya,” katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besarnya Ahmad Yakob berkata sebagai tanda sokongan dalam usaha menangani Covid-19, Exco kerajaan negeri dan Ahli DUN, masing-masing menyumbangkan RM15,000, RM10,000 dan RM3,000 yang akan disalurkan kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim.

Related posts

Leave a Comment