126, angka kematian tertinggi

PUTRAJAYA 2 Jun. – Malaysia merekodkan 126 kematian akibat Covid-19 hari ini,  rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak virus itu dikesan di Malaysia tahun lalu.

Kes melibatkan 123 warganegara dan tiga bukan negara yang membawa kepada jumlah keseluruhan 2,993 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain itu, sebanyak 7,703 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan angka keseluruhan sebanyak 587,165 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, dua kes import dikesan yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 telah menjadi 82,274 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, sebanyak 878 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 441 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh catat pertambahan sebanyak 5,777 kes dengan angka keseluruhan kes sembuh sebanyak 501,898 kes.

Related posts

Leave a Comment