2 individu sebar berita palsu didakwa

SEORANG suri rumah dan seorang guru tuisyen menjadi dua individu pertama didakwa di bawah Ordinan Darurat hari ini (2 Jun) atas kesalahan menyebarkan berita palsu berhubung jangkitan Covid-19 dan vaksin virus itu

Norjannah Rusli, 28, didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kangar , Perlis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berhubung wabak itu menggunakan WhatsApp dengan niat untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam.

Ibu kepada dua anak itu melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, pada 10.31 pagi 18 April lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau  kedua-duanya.

Pada 20 April lepas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung maklumat tular di media sosial mendakwa sembilan pelajar di sebuah sekolah menengah disahkan positif Covid-19, yang mengundang rasa panik ibu bapa serta pelajar di sekolah seluruh negeri.

Di JOHOR, guru di pusat tuisyen Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerbitkan berita tidak benar berhubung kematian akibat vaksin Covid-19 menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil “Mohd Nazaruddin Yusoff”.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat sama dan dituduh atas seksyen serupa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada 11.50 pagi, 21 April lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan Mohd Nazaruddin yang tidak diwakili peguam diikat jamin  RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Related posts

Leave a Comment