Jangkitan pertama H10N3

BEIJING 1 Jun –  China melaporkan jangkitan pertama di dunia jenis selesema burung H10N3 terhadap manusia, demikian menurut kenyataan online Suruhanjaya Kesihatan Nasional China (NHC).

Bagaimanapun, menurut NHC, risiko penyebarannya secara meluas kepada orang ramai adalah rendah.

Kenyataan itu menyatakan seorang lelaki 41 tahun dimasukkan ke hospital dengan gejala demam di bandar timur Zhenjiang pada 28 April lalu dan didiagnosis menghidap H10N3 sebulan kemudian.

Menurut NHC lelaki tersebut berada dalam keadaan stabil dan kontak rapatnya tidak melaporkan sebarang gejala luar biasa.

Ia menggambarkan H10N3 sebagai patogen rendah iaitu kemungkinan rendah menyebabkan kematian atau penyakit teruk kepada burung.

NHC juga menyatakan tidak ada kes H10N3 pada manusia dilaporkan sebelum ini di dunia.

Beberapa jenis selesema burung dikesan dalam kalangan haiwan di China tetapi jarang berlaku penularan dalam manusia.

Wabak selesema burung terhadap manusia kali terakhir dilaporkan di China berlaku pada hujung 2016 hingga 2017 iaitu virus H7N9.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, H7N9 menjangkiti 1,668 orang dan meragut 616 nyawa sejak 2013.

Related posts

Leave a Comment