Lupa, tidak semak MySejahtera

KUANTAN 31 Mei – Ketidakhadiran 10,000 penduduk Pahang untuk mendapatkan vaksin antara lain disebabkan tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terpengaruh dengan berita tidak benar berkaitan vaksin.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung isu ketidakhadiran di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pahang.

Katanya, Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran iaitu 45 peratus diikuti Pekan (43 peratus), Maran (40), Bera (28) manakala Bentong dan Jerantut masing-masing mencatatkan 22 peratus.

Selain tidak sedar akan lokasi, masa dan tarikh janji temu vaksin yang diberikan oleh aplikasi MySejahtera, ada juga yang memberikan alasan terlupa.

“Terdapat kalangan warga emas yang berubah fikiran selepas terpengaruh dengan berita tidak benar tentang vaksin yang disebarkan ahli keluarga atau sahabat atau yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di laman media sosial beliau.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pahang berhubung isu ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin walaupun telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

“Ini kerana kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok dengan segera dan ini hanya boleh dicapai jika sebahagian besar kita telah menerima vaksin supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berharap golongan muda dapat membantu menyemak dan mengingatkan ibu bapa khususnya mereka yang telah berusia berhubung janji temu suntikan vaksin supaya tidak terlepas perkara penting itu.

Related posts

Leave a Comment