Singapura lapor kematian ke-33

SINGAPURA 31 Mei – Wanita rakyat Singapura berusia 95 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19, kematian ketiga bulan ini dan ke-33 sejak pandemik bermula.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataannya berkata, pesakit wanita itu disahkan dijangkiti koronavirus pada 17 Mei ketika sedang dirawat di Hospital Besar Changi (CGH) bagi masalah kesihatan yang tiada kaitan dengan Covid-19.

Wanita yang belum mendapatkan vaksinasi  itu mempunyai sejarah penyakit barah, darah tinggi dan hipotiroidisme.

Sehingga semalam, Singapura mencatat 62,028 kes.

Sementara itu, lima daripada 19 kes masyarakat yang disahkan semalam mempunyai kaitan dengan kelompok baru di NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road. Setakat ini tujuh kes telah didapati dari kluster ini.

MoH akan menawarkan ujian Covid-19 percuma untuk orang ramai yang telah mengunjungi 308 Anchorvale Road dari 13 Mei hingga 30 Mei bagi mengurangkan kemungkinan risiko penularan dalam masyarakat yang lebih luas.

Related posts

Leave a Comment