Keluar beli makanan, ubat sahaja

PUTRAJAYA 30 Mei – Orang awam hanya dibenarkan keluar rumah bagi tujuan pembelian makanan dan ubat-ubatan sepanjang penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Selasa hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, berkata hanya dua orang dibenar keluar mendapatkan barangan keperluan asasi, termasuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Pergerakan tidak melebihi 10 kilometer (km),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor ekonomi yang dibenarkan berkhidmat hanya boleh beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Sementara itu, semua sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan penutupan penuh fasa pertama itu.

Katanya, kelonggaran diberikan kepada 12 jenis sektor perkilangan iaitu aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan ‘overhaul’), makanan dan minuman dan bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Beliau berkata, sektor perkilangan lain yang dibenarkan berkaitan barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan.

Sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga perlu mengehadkan jumlah pekerja, iaitu setakat 60 peratus pekerja sahaja.

Related posts

Leave a Comment