Satu lagi kluster ziarah Aidilfitri

KOTA KINABALU 28 Mei – Satu lagi kluster Aidilfitri dikesan apabila seorang wanita berusia 53 tahun yang lengkap menerima dua dos vaksin pada Mac lalu, dikesan menjadi kes indeks satu kluster baharu di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata, Kluster Desa Ranggu di Tawau tercetus ketika perayaan Aidilfitri, dan berdasarkan saringan kontak rapat serta sosial mendapati sebanyak 17 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 18.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, wanita berkenaan mempunyai gejala sejak 15 Mei, kemudiannya disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei hasil saringan bergejala.

Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya, pada 13 Mei.

“Kontak sosial itu mempunyai rekod pergerakan ke tiga rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertua di Kampung Jawa Tawau, sebelum dikesan positif pada 22 Mei. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya.

Setakat semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 217 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di negeri ini 61,274 kes dengan satu kematian direkodkan di Kunak.

Katanya, terdapat peningkatan kes untuk 11 daerah di Sabah, namun catatan peningkatan kes bagi setiap daerah itu masih dalam satu angka, selain turut berlaku penurunan kes di sembilan daerah dalam julat satu angka, kecuali Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua angka.

Related posts

Leave a Comment