Brunei catat kes ke 241

BANDAR SERI BEGAWAN 28 Mei – Kementerian Kesihatan melaporkan satu lagi kes import baharu setakat 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 241 orang.

Kes melibatkan seorang lelaki berumur 43 tahun yang tiba dari Manila pada 24 Mac 2021. Beliau telah menjalani ujian ‘swab’ RT-PCR pada 24 Mei 2021, di mana keputusan awal (preliminary results) menunjukkan beliau positif bagi SARS-CoV-2.

Menurut Kementerian Kesihatan Brunei, ujian lanjut yang dilakukan pada 26 Mei menunjukkan bahawa kes ini adalah kes jangkitan yang lama dan besar kemungkinan kes ini dijangkiti sebelum tiba di Brunei.

Kes ini disahkan sebagai kes jangkitan lama yang tidak boleh menjangkiti orang lain dan kes ini juga telah diklasifikasikan sebagai kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan lagi, sembilan kes aktif kini dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang menjalani rawatan di Pusat tersebut adalah dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, hanya satu kes disahkan sembuh dan jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini ialah seramai 229 orang.

Setakat ini, sebanyak 100 kes import dicatatkan sejak kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan.

 Kesihatan juga memaklumkan bahawa setakat ini, Brunei mencatatkan 386 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan pada 6 Mei 2020.

Ketika ini, seramai 795 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara seramai 18,765 orang menamatkan pengasingan diri sejak Mac 2020.

Related posts

Leave a Comment