WP hadkan jemaah Jumaat, fardu

PUTRAJAYA 28 Mei – Mulai hari ini, hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi masjid dan surau Jumaat berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, manakala 20 jemaah berkapasiti 1,000 ke bawah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail, berkata untuk solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau, bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 12 orang terdiri daripada pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa (AJK) saja.

Bagaimanapun, bagi solat Jumaat di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang terdiri imam, bilal, noja dan AJK.

Bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang terdiri daripada imam, bilal dan noja atau AJK.

Beliau berkata, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, solat Jumaat perlu digantikan dengan solat zuhur, manakala bagi solat fardu dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang saja iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.

Katanya, di kawasan PKPD juga, pengurusan jenazah membabitkan bukan pesakit Covid-19 perlu dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan petugas seramai lima orang.

Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang jemaah serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang, termasuk ahli keluarga terdekat.

Related posts

Leave a Comment