Negatif PCR sebelum ke Singapura

SINGAPURA 27 Mei – Mulai 29 Mei, warga Singapura dan penduduk tetap perlu menunjukkan hasil negatif bagi ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 yang sah, 72 jam sebelum mereka berangkat ke Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) pengecualian diberi jika warga Singapura dan penduduk tetap, itu tinggal di negara dan wilayah berisiko lebih rendah selama 21 hari sebelum keberangkatan.

Negara dan wilayah yang dianggap berisiko lebih rendah adalah Australia, Brunei, tanah besar China, New Zealand, Hong Kong dan Macau.

“Semua pelawat juga dikehendaki menunjukkan hasil ujian PCR Covid-19 yang sah di pusat pemeriksaan udara, laut dan darat apabila tiba di Singapura,” kata MoH.

Mereka yang tiba di Singapura tanpa keputusan ujian negatif yang sah mungkin akan dilarang masuk dan permit atau pas penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang gagal mematuhi peraturan baru itu boleh dibatalkan.

Sejak November tahun lalu, semua pemegang pas jangka panjang dan pengunjung pas jangka pendek yang memasuki Singapura dikenakan syarat ujian PCR negatif Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Singapura.

Sebelum ini MoH tidak menetapkan syarat itu ke atas warga dan penduduk tetap Singapura, kerana tidak mahu menyukarkan mereka pulang dengan cepat, seandainya keadaan pandemik menjadi semakin teruk di luar negara.

Ketika ini warga dan penduduk tetap perlu menjalani ujian PCR semasa tiba di Singapura disusuli dengan dengan Notis Jangan Keluar Rumah di kemudahan yang dikhaskan.

MoH menasihatkan pelawat yang hasil ujian PCR Covid-19 mereka disahkan positif harus mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya dan memastikan mereka sudah pulih sepenuhnya dan tidak berjangkit sebelum melakukan perjalanan ke Singapura.

Warga Singapura yang disahkan positif Covid-19 semasa berada di luar negara dan memerlukan rawatan perubatan segera di Singapura masih boleh pulang ke Singapura melalui penerbangan medevac atau bentuk pengangkutan lain yang seumpamanya.

Related posts

Leave a Comment